Mahasiswa UNISSA mengenali dakwah di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dengan tujuan untuk mendedahkan para pelajar mengenai dakwah di negara ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin telah mengadakan Program Pengenalan Gerakan Dakwah Islam bagi pelajar tahun akhir Program Akidah dan Dakwah, baru-baru ini.

Menurut kenyataan UNISSA, program bersama mualaf yang turut mendapat sokongan padu Pusat Dakwah Islamiah (PDI) itu bertujuan supaya para pelajar terdedah dan dapat berinteraksi dengan para mualaf di negara ini.

Program secara maya yang dikendalikan oleh para pelajar itu dibahagikan kepada dua sesi dengan sesi pagi dipantau oleh pensyarah Kursus Al-Harakat Al-Da’awiyah Al-Mua’sirah, Profesor Madya Dr Ahmad Fadhel Yousif.

Turut hadir bagi pihak PDI ialah Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah, Awang Ali Hassan bin Mohd Said; Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, pegawai-pegawai PDI selaku penyampai taklimat dan guru-guru pembimbing program tersebut.

Sesi pagi diisikan dengan taklimat daripada pegawai-pegawai PDI mengenai organisasi itu sendiri, pengembangan dakwah dan pembangunan mualaf, kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab bersama para pelajar.

Pada sesi malam pula, program tersebut mendapat sambutan daripada para mualaf dan dihadiri seramai 21 orang peserta, sekali gus menepati sasaran program.

Antara aktiviti yang diadakan semasa sesi berkenaan termasuk perbincangan atau perkongsian antara pelajar dan peserta mualaf mengikut soalan-soalan yang disediakan oleh pelajar.

Kenyataan menyatakan, manfaat utama daripada program tersebut ialah pelajar dapat mengetahui dan memahami gerakan dakwah Islam di Negara Brunei Darussalam serta memperolehi perkongsian dan pengalaman yang menarik daripada para mualaf tentang titik permulaan mereka mengenali Islam.

Program secara maya itu memberi peluang kepada pelajar untuk memahami gerakan dakwah Islam di negara ini. – Gambar serahan UNISSA