Mahathir bayangkan rombakan kabinet

PETALING JAYA, 20 NOV – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan rombakan kabinet dilakukan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi PH merangkap Pengerusi Bersatu itu bagaimanapun berkata keputusan mengenainya “tidak akan dilakukan hari ini atau esok”.

“(Ia akan dibuat)  selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dalam mengambil sebarang langkah ke arah rombakan kabinet, Dr Mahathir mengakui beliau perlu berdepan dengan kekangan tertentu.

“Kekangannya ialah walaupun saya perdana menteri, saya perlu memberi pertimbangan kepada parti-parti komponen (PH), saya tak boleh dengan begitu mudah menukar atau menggugurkan mana-mana pihak.

“Sebab itu ia akan mengambil masa sedikit,” kata beliau. Menyentuh kekalahan PH di Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata ia mungkin antara lain “kerana parti kita baharu, belum cukup matang lagi, belum susun parti dengan cukup lengkap di Tanjung Piai dan tempat-tempat lain.”

Menurutnya, turut ditimbulkan di Tanjung Piai ialah isu kos sara hidup yang tinggi, keadaan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan sebagainya.

“Akhirnya kita berpendapat ada perlunya kita mengadakan rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir. – Bernama