KUALA LUMPUR, 17 MEI – Sekiranya benar penduduk Israel mempertahankan diri daripada roket yang dilancarkan oleh Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain, maka mereka harus bertindak di negara mereka sendiri dan bukannya di bumi Palestin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri Malaysia itu berkata alasan Israel bahawa me-reka berhak untuk mempertahankan diri tidak dapat diterima kerana penduduk Palestin yang sebenarnya berusaha mempertahankan diri.
“Saya yakin Israel selepas ini akan mengambil alih Sheikh Jarrah dan tanah tempat berdirinya Masjid Al-Aqsa …,” katanya semasa sesi interaktif maya bertema ‘Palestine: Malaysia With Love’’ yang dipengerusikan oleh Farrah Adeeba dalam laman Facebooknya semalam.
Dr Mahathir yang sering berhasrat kembali ke perjuangan asalnya menjadikan perang pencerobohan sebagai satu jenayah, menyifatkan tindakan Israel melakukan serangan sengit di pelbagai bahagian di Kota Gaza yang disekat sebagai pertempuran yang tidak adil kerana Palestin lemah dan tidak mempunyai senjata seperti yang dimiliki rejim Zionis.
Kenyataan lebih kurang sama turut disuarakan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri HishammuddinHussein yang berkata ia satu penghinaan apabila negara-negara lain muncul dan berbicara mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri, sedangkan mereka langsung tidak pernah menyebut satu perkataan pun mengenai hak Palestin untuk mempertahankan diri ketika penduduk Palestin dizalimidan dijajah selama lebih 50 tahun.
Hishammuddin berkata demikian dalam ucapannya semasa mesyuarat khas terbuka untuk Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat menteri luar pada Ahad. –Bernama