Mahathir jangka Najib hadapi pertuduhan

PUTRAJAYA, 15 Mei – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyelewengkan beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Versi dalam talian The Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa melaporkan bahawa Dr Mahathir berkata beliau tidak akan membuat rundingan dengan Najib bagi mendapatkan kembali wang itu.

“Tidak akan ada rundingan,” kata Dr Mahathir seperti dipetik daripada artikel itu, yang ditulis berasaskan wawancara melalui pautan video bagi The Wall Street Journal CEO Council di Tokyo.

Dr Mahathir berkata siasatan penuh perlu disiapkan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap Najib.

Pada 2015, The Wall Street Journal melaporkan AS$681 juta dana 1MDB diimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad (kanan) ketika berucap pada satu sidang media, sambil ditemani oleh Wan Azizah, isteri kepada Anwar Ibrahim, baru-baru ini. – AFP

Bagaimanapun, Najib dan 1MDB menafikan melakukan sebarang penyelewengan. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.

Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta masih menerima kunjungan beberapa individu sejak awal pagi ini.

Hampir 50 kenderaan dilihat memasuki perkarangan kediaman bekas perdana menteri itu untuk tempoh masa yang berasingan.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kediaman bekas perdana menteri itu juga masih dikawal ketat oleh empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai polis bergerak yang ditempatkan di situ. – Bernama