Mahathir letak jawatan PM M’sia

KUALA LUMPUR, 24 FEB – Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad meletak jawatan hari ini dalam apa yang dikatakan oleh pemerhati sebagai satu usaha untuk membentuk satu gabungan baharu dan menyekat penggantian pemimpin Anwar Ibrahim.

Anwar dan Mahathir – pemimpin tertua di dunia, berusia 94 tahun – mempunyai perbezaan haluan, namun bergabung untuk menggulingkan kerajaan yang didakwa telah melakukan rasuah pada pemilihan 2018.

“Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia hari ini. Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari,” kata kenyataan itu.

Berikutan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya hari ini. Mahathir, yang sebelum ini berkhidmat sebagai perdana menteri dari tahun 1981 hingga 2003, telah membuat ikrar pra-pilihan untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar tetapi berulang kali enggan menetapkan tarikh untuk berbuat demikian.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata: “(Seri Paduka) Baginda berkenan untuk melantik YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam kenyataan tiga perenggan itu, Mohd Zuki berkata dalam tempoh ini, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh hari ini.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini. Bersatu juga telah keluar daripada gabungan PH.

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara pada 10 Mei, 2018, selepas menerajui Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan apa yang beliau gelar sebagai kerajaan kleptokratik. – Bernama/AFP

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad ketika meninggalkan Istana Negara di Kuala Lumpur, kelmarin. – AFP