Mahathir: Sidang khas 2 Mac pilih PM baharu

PUTRAJAYA, 27 FEB – Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar bawah).

Perdana menteri interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.

“Pilihan raya mengejut akan diadakan sekiranya sesi Parlimen khas 2 Mac ini gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih PM,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di  Bangunan Perdana Putra hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau akan menerima sesiapa sahaja yang memperoleh majoriti sebagai perdana menteri.

“Saya tidak akan menjadi perdana menteri jika saya tidak dinamakan sebagai calon,” kata negarawan berusia 94 tahun yang meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada Isnin.

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada Isnin mengejutkan semua pihak berikutan sebelum ini beliau berulang kali menyatakan mahu kekal sebagai PM sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pada November.

Yang DiPertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim dan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

Mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan, Dr Mahathir berkata sesiapa yang boleh mendapat sokongan majoriti akan menjadi perdana menteri dan memilih anggota kabinetnya sendiri.

Beliau berkata dalam kerajaan, setiap ahli parlimen akan berpeluang dipilih sebagai anggota kabinet selagi mereka layak dan ini termasuk ahli parlimen bebas. “Walaupun, mereka (ahli parlimen) dari parti atau bukan parti, mereka sebagai individu.

“Sudah tentu, mereka masih mempunyai hubungan dengan parti-parti mereka tetapi mereka tidak boleh mewakili parti mereka. Mereka akan berkhidmat dalam portfolio mereka,” katanya. – Bernama