Mahathir tinggalkan kesan di Afrika

DAKAR, 18 Jan – Tun Dr Mahathir hanya sempat meluangkan masa beberapa jam sahaja untuk menghadiri satu persidangan mengenai Afrika di sini pada Khamis, tetapi dalam masa yang singkat itu beliau sempat mencurahkan pelbagai ilmu dan pandangan mengenai tadbir urus dan pembangunan yang terbukti berguna untuk Afrika.

Perdana Menteri Malaysia itu telah mengemukakan pandangannya pada Persidangan Antarabangsa kali ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) dengan memberi pelbagai panduan bagaimana hendak memajukan sesebuah negara, dengan memberi contoh-contoh dari Malaysia sendiri.

“Satu perkara dalam memajukan sesebuah negara ialah anda perlu mengkaji kemajuan yang telah dicapai oleh negara lain. Dalam kes Malaysia, kita mempunyai Dasar Pandang Ke Timur untuk belajar dari Jepun, Korea Selatan selain China. Dulu, kami pun sering belajar dari Eropah.

“Adalah penting untuk mencari model yang boleh ditiru untuk mempercepatkan proses pembangunan, ialah antara nasihat beliau kepada Afrika,’’ katanya kepada wartawan Malaysia di sini sebelum mengakhiri lawatan beliau ke Senegal pada 16-17 Jan untuk menghadiri persidangan tersebut sebelum berlepas dengan penerbangan ke London.

Dr Mahathir, 93, diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan dari Asia yang dijemput untuk menghadiri persidangan itu pada 17-19 Jan bertemakan “Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman”.

Pada persidangan di Dakar itu, Dr Mahathir turut mengambil bahagian dalam panel perbincangan peringkat tinggi yang turut dihadiri Presiden Senegal Macky Sall dan Presiden Ibrahim Boubacar Keita dari Mali, selain segmen yang melibatkan sektor swasta sebagai enjin penggerak kemunculan.

Antara yang dibangkitkan oleh beliau ialah pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk membolehkan negara mencapai kemajuan, kerana katanya, kestidakstabilan politik boleh mengganggu proses itu. – Bernama

Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada persidangan ketiga ICEA yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio kelmarin. – Bernama