MAHB jelas tindakan fail tuntutan terhadap AirAsia X

KUALA LUMPUR, 25 OKT – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini menjelaskan tindakannya memfailkan tuntutan sebanyak RM78 juta terhadap AirAsia X tidak akan menggagalkan skim penyusunan semula hutang AirAsia X.

“Malaysia Airports meneruskan hak undang-undangnya untuk mendapatkan kembali hutang daripada AirAsia X kerana ia sangat penting untuk memulihara dan menyelenggarakan lapangan terbang,” katanya sebagai maklum balas kepada laporan media tempatan bertarikh 24 Oktober, bertajuk ‘MAHB checkmates AirAsiaX’.

Ia berkata caj tertunggak aeronautik itu terdiri daripada caj yang dikawal selia kerajaan termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj aerobridge, caj parkir pesawat dan pendaratan, caj kaunter daftar masuk dan caj bayaran lewat.

“Wang ini akan disalurkan kembali ke dalam perniagaan bagi mengekalkan operasi lapangan terbang serta memastikan tahap layanan/perkhidmatan terus disampaikan kepada penumpang. Tambahan pula, hutang yang terhutang kepada kami adalah kurang daripada 0.01 peratus daripada jumlah hutang yang terhutang dalam skim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengendali lapangan terbang turut maklum AirAsia X telah memfailkan permohonan untuk cadangan skim penyusunan semula hutang dengan pemiutang tanpa cagarannya menurut seksyen 366 Akta Syarikat 2016. – Bernama