Mahinda menang pilihan raya Sri Lanka

COLOMBO, 7 OGOS – Parti pemerintah Rajapaksa di Sri Lanka memenangi dua pertiga majoriti dalam pilihan raya parlimen yang akan membenarkan mereka menggubal semula perlembagaan dan menambah kuasa mereka, menurut keputusan akhir yang keluar hari ini.

Amerika Syarikat (AS), yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa sebelum ini, menggesa kerajaan baharu supaya menghormati hak manusia dan kedaulatan undang-undang.

Parti Podujana Sri Lanka (SLPP) pimpinan Rajapaksa memenangi 145 kerusi dalam pilihan raya pada Rabu dan boleh bergantung pada sekurang-kurangnya lima sekutu dalam 225 anggota badan perundangan baharu, menurut keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pegawai berkata Rajapaksa, 74, akan dilantik sebagai perdana menteri oleh adiknya Gotabaya, 71, presiden negara itu, di sebuah kuil Buddha berhampiran ibu negara pada Ahad.

Gotabaya dipilih presiden pada November, menetapkan kepulangan keluarga terbaharu yang telah menguasai politik negara sejak dua dekad lalu.

Kerajaan baharu berdepan cabaran ekonomi besar, dengan Bank Pembangunan Asia meramalkan penyusutan ekonomi sebanyak 6.1 peratus pada tahun ini.

Rajapaksa bertanding dalam pilihan raya dalam usaha untuk memenangi majoriti dengan tujuan melaksanakan pindaan perlembagaan, termasuk membatalkan institusi bebas yang bertanggungjawab ke atas badan kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan pilihan raya.

Rajapaksa akan mengumumkan kabinet baharu pada Isnin depan dalam satu majlis di depan Temple of Tooth, kuil Buddha paling suci di negara. – AFP

Mahinda Rajapaksa (kanan) bertemu dengan penyokong di kediamannya di selatan bandar Tangalle kelmarin selepas keputusan pilihan raya parlimen Sri Lanka. – AFP