Mahkamah benar bekas penyanyi K-pop kembali dari AS

SEOUL, 15 NOV – Sebuah mahkamah Korea Selatan memutuskan hari ini, seorang penyanyi K-pop yang diusir dan dilarang masuk ke negara itu kerana mengelak menjalani latihan ketenteraan wajib dengan menjadi warga Amerika Syarikat (AS) seharusnya dibenarkan pulang selepas 17 tahun hidup dalam buangan.

Steve Yoo atau nama sebenarnya Yoo Seung-joon (gambar bawah) adalah seorang penyanyi carta teratas pada 1990an, namun ia berubah selepas beliau menjadi rakyat AS sebelum dipanggil menjalani khidmat tentera pada 2002, secara automatik melepaskan kerakyatan dan khidmat wajib berkenaan.

Setiap lelaki Korea Selatan diwajibkan menghabiskan tempoh dua tahun dalam tentera, sering di kawasan terpencil di sepanjang sempadan dengan Korea Utara namun tindakan Yoo mencetuskan kemarahan meluas.

Beliau segera diusir ke AS, menghabiskan masa remajanya di California dan dinafikan visa ke Korea Selatan sejak itu.

Empat tahun lalu, beliau menyaman untuk mencabar penolakan dan selepas kalah dua kali di mahkamah serta melancarkan rayuan kepada Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi Seoul hari ini memutuskan, ‘menarik balik penolakan pengeluaran visa.’

Keputusan itu memberi laluan kepada bekas bintang terbabit untuk kembali ke negaranya, namun Kementerian Luar berkata, ia bercadang merayu keputusan itu dan ‘bekerja rapat dengan Kementerian Kehakiman dan pentadbiran tenaga kerja tentera’ dalam proses berkenaan.

Yoo memohon maaf berulang kali namun satu tinjauan tahun ini menunjukkan hampir 70 peratus rakyat Korea Selatan percaya beliau seharusnya terus dilarang masuk ke negara itu. – AFP