Mahkamah beri masa kepada defendan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Mahkamah Majistret memberi lebih masa kepada pihak terbabit dalam kes melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang berdepan dakwaan di bawah Perintah Eksais dan Akta Hiburan Awam.

Peguam Rajiv Prabhakaran mewakili Ang Thian Wee, 67, yang berdepan dua dakwaan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 dan satu dakwaan di bawah Seksyen 18 (1), Akta Hiburan Awam, Penggal 181. Belum ada pengakuan diambil.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurjauinah binti Haji Kula berkata bahawa dakwaan-dakwaan terhadap Ang itu dibuat berikutan pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 11 Mac 2018 di ruang istirahat tingkat 2 sebuah hotel di Anggerek Desa.

Pemeriksaan mendapati 110 botol arak, 354 tin alkohol dan 67 paket rokok.

Defendan juga didakwa menyediakan hiburan awam dalam bentuk mesin-mesin permainan video tanpa permit. Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menangguhkan kes sehingga 13 Julai.