Mahkamah dengarkan kes curi kabel

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Mahkamah Perantaraan di sini, kelmarin telah mendengarkan kes di mana tiga orang lelaki didakwa mencuri dan merosakkan kabel Unified National Networks (UNN), menyebabkan gangguan kepada industri perkhidmatan utama.

Muhd ​​Munawarah bin Haji Abdul Kadir, 33 tahun; Rudy bin Othman, 41 tahun; dan Muhd Dzul Fauzie bin Musalim, 19 tahun, didakwa mencuri kabel tembaga sepanjang 40.5 meter menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan UNN, selepas tengah malam pada 18 November lalu di Kampung Sungai Kebun.

Mereka juga didakwa melakukan khianat dengan menarik dan memotong kabel tembaga dan 4 meter kabel gentian optik.

Kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya, Aeny Zullizam masing-masing membawa hukuman penjara dalam lingkungan tiga hingga 10 tahun dengan empat hingga 12 kali sebatan.

Hakim Mahkamah Perantaraan, Harnita Zelda Skinner menetapkan 20 Disember untuk merekodkan pengakuan defendan dan membebaskan mereka dengan jaminan mahkamah $5,000, atau dua penjamin tempatan masing-masing dengan syarat ketat.