NEW DELHI, 1 JULAI – Jurucakap parti pemerintah yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam sehingga mencetuskan perbalahan diplomatik dan bantahan besar-besaran perlu membuat permohonan maaf, menurut mahkamah tinggi New Delhi, hari ini.
Negara-negara Islam di seluruh dunia bulan lalu meluahkan kemarahan selepas Nupur Sharma membuat kenyataan pedas semasa debat di televisyen disiarkan, yang menyentuh mengenai Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda.
Susulan itu, hampir 20 buah negara memanggil duta India masing-masing bagi menuntut penjelasan.
Bantahan turut berlaku di sekitar Asia Selatan, dengan polis menambak dua orang penunjuk perasaan di India, manakala minggu ini dua lelaki Islam didakwa membunuh seorang tukang jahit beragama Hindu yang menyokong kenyataan Sharma di Facebook.
“Wanita itu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di negara ini,” kata Mahkamah Tinggi India, semasa pendengaran prosedur terhadap beberapa aduan jenayah yang difailkan terhadap Sharma.
“Dia perlu meminta maaf kepada seluruh negara.”
Sejak melontarkan kenyataan tersebut, Sharma berdepan pelbagai laporan polis yang difailkan oleh orang ramai terhadapnya.
Keberadaan wanita berusia 37 tahun itu masih belum diketahui, namun peguamnya meminta mahkamah agar kes-kes disatukan di New Delhi, namun permintaan tersebut ditolak.
Sharma sebelum ini salah seorang anggota parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menyerlah, namun kenyataannya itu telah mencetuskan kontroversi.
BJP kemudian menggantungkan Sharma daripada jawatannya dan mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu menegaskan mereka menghormati semua agama.
Sejak memerintah pada 2014, BJP di bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi dituduh menyebelahi dasar diskriminasi terhadap penganut Islam.
Pengkritik juga berkata kerajaan melaksanakan tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan aktivis hak asasi. – AFP