Mahkamah gantung keputusan tutup badan cegah rasuah

BANDARAYA GUATEMALA, 10 Jan – Mahkamah perlembagaan Guatemala menggantung keputusan presiden untuk menamatkan secara sebelah pihak perjanjian kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan Suruhanjaya Antarabangsa Menentang Impuniti di Guatemala (CICIG), sebuah badan bebas yang ditugaskan mendakwa jenayah rasuah serius.

Panel hakim tribunal tertinggi negara itu telah mencapai keputusan majoriti selepas bersidang secara sulit selama lapan jam yang berlangsung sehingga dinihari.

Hanya seorang hakim, Dina Josefina Ochoa (presiden mahkamah itu), membentangkan pendapat berbeza berhubung lapan rayuan spesifik yang meminta agar penamatan awal CICIG di negara itu dihalang, iaitu sembilan bulan sebelum mandatnya berakhir.

Presiden Jimmy Morales telah mengumumkan pada Selasa bahawa beliau dengan serta-merta menutup suruhanjaya itu atas alasan ia melakukan ‘pelanggaran serius’ ke atas undang-undang domestik dan antarabangsa.

“CICIG telah menimbulkan risiko ke atas keselamatan negara, ketenteraman awam, pentadbiran, perasaan hormat kepada hak asasi manusia dan – paling penting – kedaulatan negara Guatemala,” dakwa Morales. – Bernama