Mahkamah India gantung undang-undang pertanian

NEW DELHI, 12 JAN – Mahkamah Agung India menggantung penguatkuasaan undang-undang pertanian baharu yang mendorong ribuan petani mengadakan tunjuk perasaan membantah pelaksanaannya.

Ketua Hakim, Sharad Arvind Bobde, berkata Mahkamah Agung membuat keputusan itu bagi membolehkan proses timbang tara diadakan antara kerajaan dan penunjuk perasaan.

“Kita akan menggantung penguatkuasaan tiga undang-undang pertanian itu sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

Mahkamah turut memberitahu, satu jawatankuasa membabitkan pakar akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian terhadap perbalahan yang timbul, sekali gus menjadi cabaran besar kepada Perdana Menteri, Narendra Modi.

“Jawatankuasa ini tidak akan menghukum anda atau memberikan sebarang perintah, sebaliknya ia akan menghantar laporannya kepada kami,” katanya.

Kerajaan India sebelum ini memaklumkan undang-undang baharu itu bertujuan membolehkan petani menjual hasil tanaman mereka kepada pembeli swasta dan bukan hanya di pasar yang dikendalikan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kumpulan petani terbabit bimbang syarikat besar mewujudkan kartel bagi mengambil kesempatan mengaut keuntungan tanpa mengambil kira hak petani jika pelaksanaan undang-undang terbabit diteruskan.

Mereka turut berikrar akan terus mengadakan tunjuk perasaan sehingga undang-undang tersebut dimansuhkan, namun kerajaan memutuskan tidak akan berbuat demikian.

Beberapa pertemuan antara kerajaan serta kumpulan petani terbabit telah berlangsung sebelum ini, namun gagal menemui jalan penyelesaian dan satu lagi pertemuan dijadual diadakan pada pertengahan bulan ini. – AFP

Petani meneruskan bantahan di sebatang lebuh raya di sempadan negeri Gazipur Delhi-Pradesh Uttar, di Ghaziabad kelmarin. – AFP