Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Mahkamah kekalkan hukuman

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Hukuman penjara 20 tahun dengan dua kali sebatan terhadap seorang bapa yang menyebabkan kematian anaknya kekal tidak berubah apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan pesalah.

    Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Michael Peter Burrel bersama Hakim Michael Lunn dan Conrad Seagroatt, mendengarkan rayuan balas berkenaan kes Kasim bin Omar.

    Kasim mengaku bersalah menyebabkan kematian anak berusia lima bulan, kecederaan parah dan gagal melaporkan kematian kepada polis, yang membawa kepada hukuman tersebut.

    Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa hukuman penjara 20 tahun itu adalah wajar kerana ia tergolong dalam kes paling buruk dan menyatakan keperluan untuk melindungi masyarakat.

    Rayuan pendakwa raya untuk lebih banyak sebatan juga ditolak oleh mahkamah kerana mendapatinya dalam julat yang boleh diterima dalam melaksanakan kuasa mengikut budi bicara hakim.

    Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin membantu mahkamah sebagai responden dan mewakili pendakwa raya sebagai pemohon dalam permohonan silang.

    Kisah itu bermula pada Disember 2017 dengan kelahiran pramatang mangsa, yang mengalami komplikasi sejak itu. Kasim berkata, dia sering sakit hati kerana terpaksa menjaga mangsa dan melakukan kerja rumah, manakala Siti Norzalia pula menjaga anak mereka yang lain.

    Pada 29 Mei 2018, mangsa yang berusia lima bulan bangun sambil menangis, kerana dia memerlukan penukaran lampin.

    Dengan keadaan berang, Kasim membawa mangsa ke bilik air, di mana dia melemparkannya ke atas lantai menyebabkan kepala mangsa terhantuk ke lantai dan dia kelihatan kaku seketika, sebelum tangisannya bersambung.

    Kasim mengangkat anak damit itu dan membersihkannya. Dia membawanya kembali ke bilik tidur, di mana dia melemparkannya semula, menyebabkan kepalanya terhantuk pada bingkai katil, kemudian meninggalkan mangsa menangis sendirian.

    Selepas beberapa jam, Kasim tidak dapat memberi makan kepada mangsa, yang ketika itu diam dan tidak aktif.

    Pasangan itu cuba melakukan pertolongan cemas CPR ke atas mangsa, tetapi dia tidak bernafas.

    Apabila Siti Norzalia mencadangkan mereka membawa mangsa ke hospital, Kasim tidak bersetuju, kerana bimbang disyaki mendera kanak-kanak.

    Kasim berkata, dia akan mengebumikan mangsa, dan isterinya bersetuju.

    Bagaimanapun, pada awal pagi keesokan harinya, daripada mengebumikan mangsa, pasangan itu membungkus mayat dengan plastik dan pakaian, yang dimasukkan ke dalam bekas dan kemudian di dalam beg.

    Mereka membawa beg itu ke belakang rumah, di mana ia dimasukkan ke dalam bilik stor.

    Pasangan itu memberitahu ahli keluarga bahawa mereka telah menyerahkan mangsa untuk diambil sebagai anak angkat.

    Kematian mangsa hanya diketahui kira-kira setahun kemudian, pada 12 September 2019, apabila ibu Siti Norzalia membuat laporan polis berhubung penderaan pasangan, selepas menyedari kesan lebam pada mata anak perempuannya.

    Ibu Siti Norzalia juga memaklumkan kepada polis bahawa anak perempuannya telah memberikan kenyataan yang bercanggah, tentang keberadaan mangsa.

    Polis menahan Kasim, yang membawa mereka kepada mayat mangsa di bilik stor di belakang rumah di Kampung Salambigar.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...