Mahkamah Komersial mula beroperasi Februari depan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Mahkamah Komersial mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2016, yang mana kes pertama didaftarkan pada 2 Februari.

Sehingga 23 November 2016, mahkamah tersebut menerima 155 kes yang telah difailkan dan kira-kira 70 peratus daripada kes yang difailkan adalah saman daripada pelanggaran kontrak di bawah perkhidmatan perbankan dan kewangan.

Sebanyak 30 peratus lagi adalah berhubung pertikaian di bawah penjualan dan penghantaran barang; pelanggaran dalam projek-projek pembangunan; pelanggaran dalam perjanjian penyewaan, serta penjualan dan pembelian komoditi.

Kenyataan dari Jabatan Kehakiman berkata, Mahkamah Komersial ialah saluran khusus untuk kes-kes komersial dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan dalam penyelesaian kes-kes komersial dalam bidang kuasa Mahkamah Perantaraan.

Dengan penubuhan mahkamah itu, badan kehakiman berharap akan dapat mempertingkatkan persekitaran perniagaan dengan resolusi lebih cepat, memupuk inovasi dalam proses kehakiman dan menarik pelaburan langsung asing.

Sistem perundangan yang lebih mantap ini memberi jaminan kepada perniagaan tempatan dan pelabur asing bahawa kes mereka akan dikendalikan dengan cekap dan secara profesional.

Untuk mempercepatkan lagi kes, mahkamah memperkenalkan beberapa proses baru, khusus untuk kes-kes komersial dan antaranya ialah Persidangan Pengurusan Kes, yang mana mahkamah akan mengambil peranan yang lebih pro-aktif dalam memastikan pihak-pihak tertentu akan mematuhi garis masa yang ditetapkan, merapatkan isu, memudahkan perbincangan dengan tujuan untuk penyelesaian secara baik dan mematuhi perintah mahkamah.

Melalui Persidangan Pengurusan Kes, mahkamah juga menawarkan pilihan dalam bentuk pengantaraan.

Pada masa ini, Pendaftar Mahkamah Perantaraan dan Komersial dilatih sepenuhnya dalam menjalankan pengantaraan dengan dua Pendaftar yang didaftarkan sebagai perantara di bawah Pusat Pengantaraan Singapura.

Memandangkan pengantaraan hanya satu pilihan, ia hanya akan diteruskan dengan persetujuan dari semua pihak yang terlibat dalam prosiding undang-undang.