Mahkamah luluskan ekstradisi warga Korea U

KUALA LUMPUR, 13 DIS – Seorang lelaki warga Korea Utara mungkin menghadapi dakwaan pengubahan wang di Amerika Syarikat (AS) selepas mahkamah Malaysia meluluskan ekstradisinya hari ini, dalam satu kes yang didakwa oleh peguamnya sebagai bermotifkan politik.

Mun Chol Myong telah menafi dakwaan FBI mengatakan beliau memimpin kumpulan jenayah yang melanggar sekatan dengan membekal barangan mewah ke negaranya dan mengubah wang menerusi syarikat samaran.

Lelaki berusia 54 tahun itu, yang telah menetap di Malaysia bersama keluarganya selama satu dekad, ditahan pada Mei ekoran satu permintaan ekstradisi dari Washington.

Peguam belanya mendakwa beliau hanya terbabit dalam bekalan minyak kelapa sawit dan minyak kacang soya ke Utara.

“Saya berasa sedih dan kecewa dengan tindakan mahkamah,” kata peguam Jagjit Singh, yang sebelumnya mengkritik usaha ekstradisinya sebagai ‘berdasarkan politik.’

Jagjit berkata anak guamannya tidak akan dihantar pulang sebelum keputusan muktamad, mungkin didengar pada awal tahun depan.

Mun dituduh atas empat dakwaan mengubah wang dan dua bersubahat mengubah wang, terutamanya berhubung kerja beliau untuk sebuah firma di Singapura.

Kes beliau mendedahkan tumpuan pada hubungan perniagaan di antara Pyongyang dan Singapura, dengan beberapa syarikat di bandar itu didakwa sejak kebelakangan ini berhubung penghantaran barangan diharam ke Utara.

Eksport beberapa produk ke Utara, termasuk barangan mewah, telah diharamkan sebagai sebahagian daripada sekatan besar yang dikenakan ke atas Pyongyang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara termasuk AS disebabkan program senjatanya.

Pada bulan lalu, mahkamah Singapura memenjarakan pengarah sebuah firma perniagaan selama tiga tahun kerana membekal barangan bernilai AS$4.4 bilion, daripada alkohol kepada kosmetik dan jam tangan, ke Korea Utara. – AFP