Mahkamah Madrid terima rayuan Hernandez

MADRID, 27 OKT – Pemain pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez tidak akan dimasukkan ke penjara Sepanyol kerana melanggar perintah sekatan pada 2017 selepas mahkamah Madrid menerima rayuan daripada pemain Perancis itu.

“Kami menganggap rayuan itu perlu dikekalkan dan perintah masuk penjara digantung,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Penggantungan hukuman itu adalah untuk tempoh empat tahun selagi Hernandez tidak melakukan sebarang jenayah lanjut dan pembayaran denda AS$111,000, menurut mahkamah.

Hernandez, pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada 2018, ditahan empat tahun lalu di Sepanyol kerana melanggar perintah mahkamah yang melarangnya menghubungi pasangannya selepas pertengkaran antara pasangan tersebut.

Dia dan pasangannya, Amelia Lorente, kedua-dua disabitkan dengan keganasan rumah tangga pada Februari 2017.

Pasangannya didakwa memukul dan mencakar Hernandez, manakala pemain itu memukulnya di rusuk, bahagian belakang dan muka, menurut keputusan mahkamah pada waktu itu.

Kedua-duanya tidak membuat aduan terhadap satu sama lain, tetapi mereka berdua didakwa oleh pendakwa raya Sepanyol. – AFP

Gambar pemain pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez ketika menghadiri sesi latihan pasukan Bayern Munich di selatan Jerman. – AFP