MADRID, 14 OKT – Mahkamah di Madrid memerintahkan hukuman penjara ke atas pemain Perancis dan Bayern Munich, Lucas Hernandez kerana melanggar perintah larangan yang dikenakan pada 2017.
Hernandez yang juga pemenang Piala Dunia 2018 diperintahkan untuk hadir di mahkamah Selasa depan tetapi dia akan merayu hukuman itu.
Dia diberi masa 10 hari bermula 19 Oktober untuk datang ke penjara ‘secara sukarela’.
Di Sepanyol, mereka yang dijatuhkan hukuman kurang daripada dua tahun biasanya tidak akan dihantar ke penjara, tetapi dalam kes ini yang juga kesalahan berulang, Hernandez diperintah menjalaninya.
Pemain berusia 25 tahun itu ditangkap empat tahun lalu kerana melanggar perintah mahkamah yang melarangnya bertemu pasangannya selepas pertengkaran di antara mereka.
Pada Februari 2017, Hernandez ditahan selepas teman wanitanya ketika itu dibawa ke hospital kerana kecederaan kecil selepas pergaduhan teruk antara mereka.
Hernandez berada di dalam skuad Perancis yang memenangi Liga Negara-Negara hujung minggu lalu.
Dia menjadi pemain termahal dalam sejarah Bundesliga selepas menyertai Bayern dari Atletico pada 2019 dengan nilai €80 juta. – AFP