BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seorang pegawai kanan imigresen yang dihadapkan dengan dua pertuduhan rasuah telah diperintahkan untuk melanjutkan tempoh reman sementara siasatan masih dijalankan.
Ketua Pegawai Imigresen Kanan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Seruji bin Haji Setia, 52, didakwa menerima hadiah permaidani bernilai lebih $2,000 daripada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi bersama defendan, yang merupakan ketua di Bahagian Pas Kerja di jabatan itu, pada bulan Januari dan April.
Siasatan awal Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendedahkan bahawa defendan yang pada masa melakukan kesalahan itu merupakan penjawat awam, Ketua Pegawai Imigresen Kanan JIPK, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pada 9 Januari lalu telah mendapatkan tanpa bayaran tiga gulung permaidani dengan anggaran bernilai $1,420 daripada sebuah syarikat.
Manakala itu, sekitar April, defendan sekali lagi mendapatkan tanpa bayaran dua gulung permaidani dengan anggaran bernilai $890 daripada syarikat yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Rahman memaklumkan mahkamah bahawa BMR masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memerintahkan defendan direman dan menangguhkan kes untuk sebutan lanjut pada 3 November ini.