Mahkamah tangguh kes curi 30 Julai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seorang lelaki warga tempatan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, atas pertuduhan membuat kekacauan dan mencuri.

Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof mengarahkan hukuman untuk dijatuhkan ke atas Haji Muhammad Badrul Kamal bin Haji Shari setelah perbicaraan berakhir.

Timbalan Pendakwa Raya, Syafina Abdul Hadzid memaklumkan bahawa tertuduh telah membuat kekacauan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kereta kira-kira pukul 2:10 petang pada 8 Mac lalu.

Kejadian berlaku di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, di mana tertuduh telah melihat ke dalam sebuah kereta yang diletakkan di masjid tersebut dan terlihat sebuah beg tangan di dalamnya.

Tertuduh kemudiannya melontarkan batu-batu kecil ke arah jendela kereta berkenaan lalu mengambil beg tersebut yang mengandungi wang tunai sebanyak $160 sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Pada ketika itu, tertuduh juga telah disabitkan dengan kesalahan, dan sabitan tersebut masih lagi berkuat kuasa sepenuhnya, dengan pertuduhan mencuri pada Julai 2014, Disember 2017 dan Januari 2018, yang membuatkannya boleh dikenakan hukuman yang lebih tinggi lagi.

Namun, tertuduh menafikan tuduhan melakukan kerosakan ke atas kereta lain yang diletakkan di tempat letak kereta Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, antara 3 hingga 10 Julai 2020.

Selain itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah mencuri jam tangan dan beg yang berisi cakera padat dari kereta yang dicuri pada hari tersebut.

Mahkamah menangguhkan kes dan menetapkan tarikh 30 Julai bagi kes disebut semula.