Mahkamah tinggi betulkan hukuman pesalah dadah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Hukuman terhadap seorang lelaki yang disabit bersalah mengambil methylamphetamine serta 15 pertuduhan kerana gagal melapor kepada pegawai pengawasan Biro Kawalan Narkotik telah ditukar oleh Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong menukar hukuman penjara empat tahun dan tiga bulan serta mengarahkan tarikh perlaksanaannya bermula 28 Mei 2019 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret terhadap Aminul Amri bin Haji Abdullah kepada penjara empat tahun 10 minggu dengan perintah agar tarikh hukuman bermula pada 11 Disember 2019.

Mahkamah mendengar daripada Aminul Amri, Jabatan Penjara telah memberitahunya bahawa hukumannya dijadualkan bermula pada tarikh hukuman dijatuhkan iaitu 2 Jun 2020, meskipun perintah Majistret agar ia dikira lebih awal.

“Mungkin ada kesalahfahaman pihak perayu atau Jabatan Penjara mengenai tarikh hukuman mula dilaksanakan. Bagaimanapun, majistret jelas keliru dalam membuat perintah,” jelas ketua hakim negara lagi dalam menyemak semula keputusan itu.

Ketua hakim negara selanjutnya mengatakan bahawa responden dalam rayuan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman, mengakui bahawa hukuman tersebut seharusnya diambil kira bermula 11 Disember 2019.

Ketua hakim memberikan alasan bahawa perubahan semasa prosiding membawa kepada keputusannya untuk menyemak semula perintah tersebut dan menggantikan hukuman tersebut.

Aminul Amri diberikan ikat jamin pada 28 Mei 2019 sementara menunggu perbicaraan yang telah ditetapkan pada 12 Jun 2019.

Namun dia gagal menghadiri perbicaraan yang mendorong mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dan menyebabkan jaminan Aminul Amri dibatalkan pada 11 Disember 2019 dan ditahan sehingga 2 Jun 2020.

Tiada justifikasi bagi majistret untuk memerintahkan hukuman itu diambil kira bermula tarikh 28 Mei 2019 disebabkan perayu telah diberikan jaminan pada tarikh tersebut, jelas ketua hakim negara.

Sementara itu, ketua hakim negara dalam kesimpulannya menambah bahawa kesilapan majistret juga salah dalam pengiraan hukuman keseluruhan di mana keseluruhan hukuman itu, seperti yang ditegaskan oleh timbalan pendakwa raya, seharusnya empat tahun 10 minggu dan bukannya empat tahun tiga bulan.