Mahkamah tinggi S’pura tangguh hukuman mati warga Malaysia

SINGAPURA, 8 NOV – Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang warga Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung pada Rabu (10 November) atas sabitan mengedar dadah.

Keputusan itu dimuat naik di Facebook oleh M. Ravi, peguam kepada lelaki yang dihukum mati iaitu Nagaentran K Dharmalingam, 33.

“Mahkamah Tinggi baru sahaja memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Prosiding bagi permohonan mencabar pelaksanaan peng-hakiman didengar melalui aplikasi Zoom hari ini, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman gantung pada 10 Nov.

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 42.7 gram heroin ke Singapura.

Aktivis menyertai aktiviti berjaga malam menjelang keputusan mengenai Nagaenthran K. Dharmalingam yang dijatuhkan hukuman mati kerana menyeludup dadah ke Singapura di luar kedutaan Singapura di Kuala Lumpur, 8 November. – AFP

Menurut Ravi, peguam dari K K Cheng Law Llc, mahkamah melaksanakan sesi perbicaraan yang adil diketuai oleh Hakim See Kee Oon.

Perbicaraan bermula pada pukul 2:30 petang manakala keputusan penghakiman disampaikan pada pukul 4 petang.

Kelmarin, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong memohon supaya hukuman dalam kes itu diringankan.

Laporan itu menyebut Ismail Sabri telah meminta kerajaan Singapura untuk pertimbangkan kemungkinan menangguhkan hukuman mati untuk membolehkan permohonan baharu bagi pengampunan presiden dikemukakan.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya seorang kurang upaya daripada segi intelek.

Dia dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 22 November 2010. Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, dan permohonannya untuk pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020. – Bernama