Mahkamah tolak permohonan pesalah miliki rokok seludup

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan seorang wanita bagi mengurangkan hukuman denda dan lebih banyak masa untuk menyelesaikannya berikutan sabitan kerana memiliki rokok seludup.

Hakim Mahkamah Tinggi, Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman semasa menolak rayuan Nazirah Faiqah binti Adeni, menyatakan persetujuannya dengan pihak pendakwaan bahawa denda atau hukuman penjara jika gagal melunaskan pembayaran adalah bersesuian.

Hakim juga mendapati bahawa majistret telah memberinya masa yang cukup untuk membayar denda yang dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mendedahkan di mahkamah bahawa Nazirah Faiqah telah diarahkan oleh Mahkamah Majistret pada 6 Julai 2020 untuk melunaskan denda $250,000 dalam tempoh 36 bulan atau berhadapan hukuman penjara selama 26 bulan jika gagal membayarnya selepas tertuduh mengaku bersalah kerana memiliki 100 karton dan 10 paket rokok.