Mahkamah tolak rayuan, hukuman tidak berlebihan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Mahkamah Tinggi hari ini telah membenarkan keputusan Mahkamah Majistret untuk menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan enam bulan ke atas seorang penagih dadah.

Awangku Haji Abdul Razak bin Pengiran Haji Aliuddin dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah mengambil dadah jenis methylamphetamine di Mahkamah Majistret pada 16 April 2020 namun kemudian membuat rayuan meminta hukumannya diringankan.

Keputusan oleh Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong adalah berpandukan peruntukan di bawah Seksyen 29 (3A) Akta Penyalahgunaan Dadah untuk pesalah kali kedua atau berikutnya yang akan dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun.

Memandangkan dua hukuman terdahulu atas kesalahan penggunaan dadah dan dia mengulangi lagi perbuatannya sejurus menjalani hukuman bagi kesalahan terakhir, majistret memutuskan bahawa hukuman pencegahan melebihi had yang ditetapkan adalah sesuai, jelas Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong.

Ketua hakim mendapati hukuman itu tidak berlebihan dan menolak permohonan rayuan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh mewakili pendakwa raya sebagai responden dalam rayuan tersebut.