Mahkamah tolak rayuan kembalikan treler trak

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Rayuan sebuah syarikat untuk mendapatkan kembali treler trak yang telah diperintahkan untuk dirampas dalam kes di mana pemandu syarikat berkenaan gagal mengisytiharkan minuman keras, telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hui Transport Sdn Bhd yang diwakili peguam Haji Mohammad Daud bin Haji Ismail membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Majistret berkenaan. Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong mendapati bahawa arahan Mahkamah Majistret itu adalah patut.

Pada 8 Ogos 2009, Tiara Pewira Enterprise mendapatkan khidmat Hui Transport (sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuching) untuk membawa 600 beg Baja Abok dari Miri ke Keningau melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh apabila pegawai-pegawai kastam menemui 3,432 karton minuman keras.

“Syarikat-syarikat pengangkutan barang bertanggungjawab bagi penggunaan kenderaan mereka dan melindungi diri mereka daripada kehilangan kenderaan mereka,” ketua hakim mengingatkan bahawa syarikat berkenaan mengetahui risiko menyewakan kenderaan mereka untuk membawa barangan tegahan.

“Hui Transport patut mengambil langkah-langkah berpatutan untuk memastikan bahawa Tiara memuatkan debu kayu dan bukan yang lain,” tambah ketua hakim.