Mahkamah tolak rayuan lelaki atas 11 kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Rayuan seorang pesalah untuk mendapatkan pengurangan tempoh hukuman atas 11 kesalahan yang dilakukannya diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada Sabtu lalu.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong menolak permohonan rayuan Mohammad Khairol Azizan bin Abd Karim yang sebelum ini dijatuhi hukuman lima tahun dua bulan penjara atas kesalahan melibatkan curi, menerima harta curi, menyebabkan khianat dan memalsukan plat pendaftaran kereta.

Ketua hakim memutuskan untuk mengekalkan tempoh hukuman pesalah selepas meneliti kesalahan pesalah yang dilakukan dalam kejadian antara April dan September 2018.

Pesalah telah mencuri barang kemas, wang, alat elektronik, lima buah kereta dan lapan silinder gas di mana salah sebuah kereta yang dicurinya telah dicat kepada warna hitam, ketua hakim menganggap tempoh hukuman yang dijatuhkan majistret yang mengendalikan kes pesalah ketika itu adalah tidak berlebihan dan pesalah layak diberi hukuman itu demi melindungi orang awam.