Mahkamah tolak rayuan pencuri kabel elektrik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, telah menolak rayuan seorang lelaki agar hukuman penjara berikutan dua kes berasingan dijalankan serentak.

Sharin bin Mohammad menuntut perbicaraan atas pertuduhan mencuri dan merosakkan kabel elektrik dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Namun semasa diikat jamin dan menunggu perbicaraan atas pertuduhan pencurian dan khianat tersebut, perayu melakukan pencerobohan pada 10 Februari 2020.

Perayu juga meminta dibicarakan atas pertuduhan menceroboh tetapi disabitkan kesalahan pada 18 Julai 2020 di mana dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dengan tiga kali sebatan.

Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat bulan setelah menukar pengakuannya kepada bersalah bagi pertuduhan mencuri dan melakukan khianat pada 5 Ogos 2020.

Dalam rayuannya, perayu memberi alasan bahawa majistret menjatuhkan hukuman atas pertuduhan pencurian dan khianat adalah salah kerana memerintahkan hukuman itu dijalankan pada masa tamat hukumannya yang sedia ada, sebaliknya mencadangkan agar hukuman tersebut dijalankan serentak.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong memetik undang-undang kes di mana majistret mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman penjara sama ada dengan segera atau semasa tamatnya hukuman penjara, memandangkan kedua-dua kesalahan itu sama sekali berbeza dan sama sekali tidak berkaitan antara satu sama lain.
Pendakwa Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dan Syafina Abdul Hadzid mewakili pendakwa raya selaku responden.