Mahkamah tolak rayuan ubah keputusan hukuman penjara

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuan seorang lelaki yang disabit bersalah menyalahgunakan dadah untuk menyemak semula arahan Mahkamah Majistret mengenai permulaan hukuman penjaranya.

Pada Februari lalu, Muhammad Syafie bin Hasbi Chua @ Chua Kang Soon dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda $800 atau berdepan tambahan enam minggu penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas lima dakwaan mengambil methylamphetamine, tiga dakwaan memiliki peralatan mengambil dadah dan dua dakwaan memiliki 1.265g dan 13.4514g methylamphetamine.

Muhammad Syafie diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara bermula Februari apabila dia didakwa dan hari ini, dia merayu kepada Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong untuk mengubah keputusan bagi hukuman penjaranya bermula dari Oktober 2018 apabila dia ditahan di bawah Criminal Law (Preventive Detention) Act (CLPDA).

“Penahanan pemohon di bawah CLPDA adalah tidak berkaitan dengan kesalahan-kesalahan dadah yang sedang dipertimbangkan dan tiada justifikasi untuk mengarahkan hukuman bermula pada tarikh penahanannya,” ketua hakim berkata sambil menambah bahawa perbalahan Muhammad Syafie adalah salah.

Mahkamah juga mempertimbangkan fakta bahawa defendan menjalani hukuman penjara selama setahun setelah sabit kesalahan pada Ogos 2019 kerana menyembunyikan barangan curi apabila dia didakwa bagi kesalahan-kesalahan dadah yang dilakukannya pada 2009 dan 2015.

Dia juga disabit bersalah pada 2010 bagi dakwaan penyalahgunaan dadah yang sama.

Ketua hakim bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin yang tampil sebagai responden, bahawa walaupun dakwaan-dakwaan dadah itu boleh disatukan dengan dakwaan menyembunyikan barangan curi, adalah tidak sesuai untuk mengarahkan hukuman dijalankan serentak kerana ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang berasingan dan berlainan.

Selain menolak rayuan setelah mendapati Muhammad Syafie tiada kes yang dapat dipertikaikan, ketua hakim juga mengulas bahawa Mahkamah Majistret boleh mengarahkan hukuman bermula sebaik sahaja hukuman kini berakhir.