Mahrez teruja sertai City

LONDON, 11 Julai – Pemain antarabangsa Algeria, Riyad Mahrez (gambar) akhirnya menyelesaikan perpindahan ke Manchester City kelmarin dengan nilai perpindahan dilaporkan berjumlah AS$79.6 juta.

Perpindahan ini berlaku selepas City menolak untuk bersetuju dengan bayaran perpindahan berjumlah 80 juta pound seperti yang diminta oleh Leicester selepas menawarkan 50 juta pound termasuk pemain sayap remaja, Patrick Roberts yang bernilai 15 juta pound.

Sekarang, menurut Leicester, mereka telah memeterai rekod perjanjian kelab itu.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menandatangani kontrak lima tahun selepas menjadi pemain tumpuan apabila Leicester merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2016.

“Saya begitu teruja menyertai City, pasukan yang menampilkan corak bola sepak yang menarik di bawah kendalian Pep Guardiola,” menurut Mahrez melalui laman sesawang Manchester City.

“Pep komited dengan corak serangan dalam bola sepak, di mana ia sesuai dengan saya dan penampilan City musim lepas sangat menakjubkan.”

Mahrez yang kecewa selepas tidak berjaya berpindah ke City pada awal tahun ini dan diketepikan dua perlawanan, berkata, kelab baharunya ini mencetuskan revolusi di England.

“Mereka ‘merombak semula’ corak permainan Inggeris dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata Mahrez.

“Saya rasa, kita boleh mencapai kejayaan dalam tahun mendatang dan saya percaya, tahap permainan saya boleh meningkat di bawah pengurusan Pep.”

Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain berkata kualiti serangan yang dimiliki Mahrez akan menambah perisa dalam pasukan meskipun pasukan itu memiliki pemain berbakat seperti Kevin De Bruyne, Leroy Sane dan Sergio Aguero. – AFP