Mahu lihat biawak komodo? Bayar AS$500

KUPANG, Indonesia, 23 Nov – Para pelancong yang ingin menyaksikan lebih dekat biawak-biawak komodo di habitat asal mereka akan berdepan dengan bayaran bil yang ‘mencekik darah’, jika keinginan seorang ahli politik Indonesia dipenuhi.

Gabenor di wilayah Nusa Tenggara Timur – habitat kepada cicak besar di dunia itu – telah mencadangkan mengenakan bayaran kepada pengunjung sekitar AS$500 untuk menyaksikan spesies terancam itu, kira-kira 50 kali ganda bayaran masuk pada masa ini bagi pelancong asing di Taman Negara Komodo.

Dan jika Viktor Bungtilu Laiskodat terpilih, taman itu akan dihadkan kepada semua kecuali pengunjung ‘luar biasa’ yang tidak kisah dengan jumlah wang yang ingin dihabiskan.

“Biawak komodo sangat unik namun sedihnya ia menjadi murah,” kata gabenor pada minggu ini semasa berucap kepada pentadbir-pentadbir universiti.

“Hanya mereka yang mempunyai poket tebal sahaja dibenarkan melihat biawak komodo. Mereka yang tidak memiliki wang tidak seharusnya melawat taman berkenaan kerana ia hanya disediakan untuk orang yang ‘luar biasa’,” ujarnya.

Gambar fail bertarikh 3 Disember 2010 menunjukkan biawak komodo mencari makanan di kawasan pesisir pantai Rinca, Indonesia yang menjadi sebahagian kawasan dilindungi iaitu Taman Negara Komodo. – AFP

Gabenor itu, yang turut mencadangkan bot-bot rekreasi seharusnya dikenakan bayaran masuk sebanyak AS$50,000, dengan berkata dia akan meng-adakan rundingan bersama kerajaan pusat, yang mentadbir taman negara itu.

Sementara itu, kementerian alam sekitar kerajaan wilayah dan persekutuan tidak mengeluarkan sebarang respons terhadap permintaan untuk mengulas cadangan bayaran bil ‘mencekik darah’ itu.

Ahli politik Indonesia memiliki sejarah panjang mengenai rancangan yang jarang sekali mendapat kelulusan, termasuklah cadangan untuk membangunkan sebuah penjara yang dikelilingi parit dengan diisi ikan pirana dan buaya bagi mengetatkan kawalan keselamatan.

Setiap tahun, ribuan pelancong membuat lawatan ke pulau itu yang terletak di timur Indonesia, yang menjadi satu-satunya lokasi di dunia di mana biawak komodo boleh disaksikan dalam habitat semula jadinya.

Sebelum ini, kerajaan telah merancang untuk mengehadkan jumlah kedatangan pelancong kerana bimbang bahawa kedatangan mereka itu akan memberi tekanan ke atas persekitaran dan mengancam habitat cicak gergasi itu. – AFP