Maia Estianty berkenan dengan Amanda

Jika sebelum ini Maia Estianty merestui pelawak Kiky Saputri menjadi kekasih Dul Jaelani, kini penyanyi itu mahu menjodohkan pula putera bongsunya itu dengan anak perempuan kepada pelawak Parto, Amanda Caesa.

Memetik laporan Liputan6, Mia seperti tidak percaya rakan selebritinya itu mempunyai seorang anak perempuan yang cantik.

“Wow, cantiknya anak dia. Saya tidak percaya anak dia cantik macam ini. Boleh dijodohkan dengan Dul. Saya teringin carikan pasangan untuk Dul,” kata Maia. Maia memberitahu perkara itu ketika berborak dengan rakannya, Poppy Amalia yang memperkenalkan anak perempuan Parto kepada bekas isteri Ahmad Dhani itu.

Selain Dul Jaelani atau Abdul Qodir Jaelani, Maia dan Ahmad Dhani mempunyai dua orang lagi anak iaitu Ahmad Al Ghazali dan Ahmad El Jallaluddin Rumi.

Maia dan Ahmad Dhani mendirikan rumah tangga pada 1996 dan mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada 2008. – Agensi

Maia ingin carikan pasangan untuk Dul. – Agensi