Ma’idatul Rahman agih sumbangan secara pandu lalu

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu mengurangkan beban khususnya kepada golongan mualaf yang baru memeluk Islam, terutama mereka yang pertama kali meraikan bulan suci Ramadan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Daerah Belait kelmarin telah menyediakan aktiviti iaitu Program Ma’idatul Rahman yang diadakan sempena bulan Ramadan tahun ini.

Program ini dikendalikan oleh Belia Mualaf As-Syahadah, dengan kerjasama Program Belia Agama dan warga PDI di Daerah Belait.

Program ini juga menggantikan program yang lazimnya diadakan setiap tahun iaitu Iftar Mahabbah yang sebelumnya dikendalikan oleh Belia Mualaf As-Syahadah sejak 2018, namun berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memerlukan pengubahsuaian program seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan, terdapat sedikit kelainan pada tahun ini.

Oleh itu, mengikut panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, program ini menyaksikan mereka tiba di tempat tersebut untuk menerima bungkusan juadah berbuka puasa dan pengagihan sebuah buku berjudul ‘Jauhi Sifat Munafik’ dibuat melalui secara pandu lalu untuk membantu menghadkan penularan wabak.

Pakej-pakej ini bukan sahaja memberi sokongan kepada mereka yang baru memeluk Islam daripada masyarakat sekeliling pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, tetapi juga membantu mengeratkan hubungan silaturahim dalam berkongsi dan memberi penghargaan kepada mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyerahkan sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Agama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

Dengan sejumlah 100 pek diedarkan semasa program berkenaan, PDI Daerah Belait menyatakan seramai 19 dari mereka baru-baru ini baharu memeluk agama Islam tahun ini dan seramai 64 orang lagi telah memeluk agama Islam pada tahun lalu.

Awang Mohamad Aliyani ketika menyerahkan sumbangan berupa bungkusan juadah berbuka puasa kepada penerima melalui kaedah pandu lalu.
Awang Mohamad Aliyani semasa pengagihan sebuah buku berjudul ‘Jauhi Sifat Munafik’.