LONDON, 4 Okt – Legenda Manchester United Roy Keane membalas kebimbangan mengenai bahaya akibat gegaran pada kepala dalam sukan dengan memberitahu bintang sukan untuk ‘bermain catur’ jika mereka takut cedera.
Keane kini bertugas selaku pembantu pengurus Ireland, Martin O’Neill dan negaranya kini tidak boleh memanggil Kevin Doyle selepas penyerang itu bersara minggu lalu kerana masalah gegaran.
Keluarga bekas penyerang West Bromwich Albion, Jeff Astle melancarkan dana untuk kempen bagi mendapatkan perlindungan lebih baik terhadap pemain moden selepas kematiannya pada usia 59 tahun kerana penyakit otak yang berlaku akibat terlalu banyak menanduk bola.
Gegaran juga menambah kebimbangan dalam sukan ragbi dan bola sepak Amerika.

“Saya yakin ia ada (keperluan untuk melakukan lebih banyak kajian), ia berterusan. Namun jika anda bimbang mengenai fizikal dalam apa juga sukan, jika anda bimbang mengenainya, elok bermain catur,” kata Keane hari ini.
“Ia sebahagian daripada permainan, sama ada ia melempar, bola sepak, bola sepak Amerika Syarikat, pemain ragbi, ia sebahagian daripada permainan.
“Apabila anda melepasi garisan itu, ia membabitkan elemen risiko. Saya tidak rasa ia akan menjadi sesuatu yang berbeza kepada pemain yang bermain ketika ini.
“Apabila anda melepasi garisan, apa peluang anda akan terhantuk. Itu adalah risiko yang anda perlu ambil.” – AFP