Tuesday, October 4, 2022
26.2 C
Brunei

Main pasang perlu strategi

-

Oleh Nurdiyanah R.

Suatu ketika dahulu, permainan tradisional merupakan medium hiburan di kalangan sesebuah masyarakat.

Di samping itu juga, ia merupakan salah satu cabang kebudayaan yang mampu menunjukkan gaya hidup, adat resam, nilai dan mentaliti masyarakat.

Namun ketika zaman silih berganti, semakin ramai generasi sekarang kurang mengetahui dan malah ada jua yang tidak mengenalinya sehinggakan keindahan khazanah warisan ini seakan-akan semakin dipinggirkan.

Bermula dalam kalangan istana

Salah satu permainan tradisi masyarakat Melayu Brunei yang pada masa ini sudah jarang dimainkan ialah permainan Pasang.

Menurut cerita orang-orang tua, Pasang merupakan permainan istana dan dimainkan semasa majlis-majlis tertentu seperti malam berjaga-jaga dan kemudian tersebar kepada rakyat jelata, khususnya kaum perempuan.

Papan permainan Pasang berbentuk segi empat sama dan mempunyai bingkai di tepinya untuk menghindarkan buah-buah Pasang terjatuh atau terkeluar. – Gambar hiasan

Papan permainan Pasang itu berbentuk segi empat sama dan mempunyai bingkai di tepinya untuk menghindarkan buah-buah Pasang terjatuh atau terkeluar.

Terdapat dua alatan utama dalam permainan ini iaitu permukaan papan yang bergaris membujur dan melintang dengan jarak yang sama; dan buah Pasang sebanyak 120 biji iaitu 60 biji berwarna putih dan 60 biji pula berwarna hitam.

Pada masa dahulu, pelbagai jenis buah mainan digunakan, di antaranya kaca yang diproses sehingga menjadi bulat atau leper, batu dan sebagainya. Namun kini, sesetengah orang menjadikan butang baju sebagai buah Pasang.

Buah Kas sebagai ‘raja’

Permainan ini boleh dimainkan oleh dua hingga empat orang pemain. Untuk memulakan permainan Pasang terlebih dahulu diadakan cabutan undi. Pemain yang memulakan permainan hendaklah mengambil lima butir buah hitam dan putih pada garisan membujur di kawasan masing-masing.

Jika pemain A mengambil buah di sebelah kanan, maka pihak pemain B pula akan mengambil buah di sebelah kiri. Pemain-pemain tidak boleh mengambil buah dari kawasan yang berhadapan kerana kawasan akan menjadi terbuka dan rentak permainan akan menjadi sama.

Hal ini sekali gus akan membantutkan permainan sehingga memberi peluang kepada pihak lawan dengan mudah menyusupkan buah Kas memasuki kawasan dan menyebabkan permainan menjadi suntuk atau mati. Pengambilan lima butir buah hitam dan putih berkenaan akan menentukan pengambilan buah Kas.

Buah Kas dianggap sebagai ‘raja’ atau ‘penggerak’ kepada pemain-pemain yang boleh berjalan dengan bebas, sama ada menyusur garisan bujur atau lintang.

Jika buah Kas berkenaan hendak memakan buah, buah mestilah mempunyai bilangan ganjil, iaitu satu, tiga, lima, tujuh atau sembilan. Pemain yang memperolehi banyak buah pasang dianggap sebagai pemenang.

Menariknya, dalam permainan Pasang ini ialah daya cipta pemain secara tidak langsung dapat membentuk atau melahirkan lebih daripada 30 bentuk atau corak bunga. Antaranya ialah susunan Talapuk Sepapan, Talapuk Berantai, Peria, Peria Buruk Sepanggal dan Peria Buruk Hati.

Secara umumnya, permainan Pasang ini merupakan salah satu jenis permainan tradisi masyarakat Melayu Brunei berdasarkan strategi di mana pemain yang mempunyai kepakaran dalam mengatur strategi akan mampu mengalahkan pihak lawan sehingga tidak dapat meneruskan permainan. Jika hal ini terjadi, pemain yang tidak dapat meneruskan permainan akan dikira kalah.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -