Mainkan peranan masing-masing dalam penjarakan sosial

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Para pengunjung restoran secara teorinya dibolehkan duduk bersama sekiranya mereka terdiri daripada ahli keluarga yang tinggal serumah.

Namun dalam hal ini kepercayaan sangat diperlukan daripada pengunjung kerana dikhuatiri terdapat mereka yang hanya mengambil kesempatan mengaku diri mereka adalah sesama keluarga, walhal cuma sekadar kawan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai pengunjung yang masih duduk beramai-ramai ketika di dalam restoran semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menyarankan pengunjung melakukan penjarakan fizikal walaupun mereka terdiri daripada kalangan keluarga kerana perkara ini sukar untuk dipantau.

“Oleh kerana itu, setiap pengunjung mestilah jujur sesama sendiri kerana di penghujung hari, semua orang sepatutnya bertanggungjawab secara sosial bahawa mereka itu benar-benar keluarga.

“Jika anda bukan serumah, oleh yang demikian anda perlu buat penjarakan ketika di dalam restoran,” tekan Yang Berhormat Dato.

Beliau juga menasihati agar pengunjung tidak cepat melatah jika pihak restoran bertanyakan sesuatu, ini kerana Kementerian Kesihatan menerima beberapa keluhan atau aduan yang masih terdapat pengunjung yang tidak menghiraukan atau tidak peduli peraturan ditetapkan mereka.

“Perlu ditekankan kepada orang ramai, inilah ketikanya tanggungjawab sosial memainkan peranan lebih penting kerana kita sedang de-escalating,” jelas Yang Berhormat Dato yang seterusnya menegaskan bahawa kita mesti menjayakan inisiatif penjarakan sosial dengan baik.

“Jika salah seorang daripada kamu membuat pelanggaran ini, ia akan mengganggu apa jua pengorbanan selama ini. Kemudian ia menjadi tidak berbaloi (sia-sia). Oleh yang demikian kesemua orang cuma perlu memainkan peranan masing-masing,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyarankan pengunjung melakukan penjarakan walaupun mereka terdiri daripada kalangan ahli keluarga. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.