Majalah Progresif isu ke-9 kini boleh didapati

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Progresif mengumumkan bahawa isu ke-9 majalahnya yang membawa tema pemuliharaan alam sekitar serta mengetengahkan gerakan pembuat tempatan di Brunei boleh diperoleh bermula hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Progresif, di sini, hari ini, bagi isu majalah terkininya, mereka telah bekerjasama dengan penulis-penulis rencana untuk mengetengahkan artikel mengenai perlunya lebih banyak inisiatif kitar semula dan untuk menyokong kemapanan dengan memilih untuk membeli-belah di kedai-kedai tempatan.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa artikel yang diketengahkan menerokai kesan plastik dan mencari kaedah untuk melupuskan bahan buangan elektronik di Brunei dengan teratur.

Manakala itu, artikel mengenai gerakan pembuat tempatan mengetengahkan usahawan tempatan yang menerajui perubahan dalam perniagaan dengan menghidupkan minat bagi produk dan perkhidmatan buatan tempatan yang mempunyai sentuhan moden.

Progresif dalam kenyataannya juga menjelaskan bahawa buat kali pertamanya, mereka telah memperkenalkan Progresif Super Kids, di mana program itu telah memberi tunjuk ajar kepada lapan orang kanak-kanak mengenai peranan keusahawanan pada usia yang muda lagi dan telahpun menjalankan perniagaan mereka sendiri.

Selain itu, majalah tersebut juga mengetengahkan pelbagai produk, trend teknologi terkini, aplikasi Progresif PAY, pencapaian terkini Progresif serta mengenai kegiatan-kegiatan tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Progresif, Devin Edwards, majalah Progresif terus berkembang dan berubah mengikut keperluan pembaca dan perisiannya mengetengahkan kisah-kisah baharu mengenai idea-idea progresif di Brunei.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana dapat terus mengongsi pembangunan Progresif di Brunei dan mengetengahkan warga tempatan yang berani bergerak di luar zon selesa mereka untuk mengejar impian masing-masing.

Majalah itu boleh diperoleh di kedai Progresif yang terdekat dan di lebih 700 buah lokasi di seluruh negara.