Majikan didenda jika abai aspek keselamatan

KUCHING, 5 Dis – Majikan, termasuk kontraktor dan subkontraktor boleh dikenakan denda atau dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati mengabaikan aspek keselamatan kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya apek-aspek keselamatan perlu dipatuh mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

“Kemalangan maut dan kecederaan di tempat kerja boleh dicegah jika semua kontraktor mengambil langkah-langkah wajar serta mempunyai pelan pengurusan keselamatan di semua tempat kerja mereka.

“Sementara menunggu laporan terperinci kejadian tersebut, saya ingin menekankan bahawa ianya merupakan tanggungjawab majikan untuk menyediakan latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE) manakala untuk pekerja, menjadi tanggungjawab mereka untuk memakainya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Petang semalam, satu letupan dipercayai akibat kebocoran gas di premis makanan Nene Chicken di CityOne Megamall telah mengorbankan tiga nyawa manakala 44 mangsa cedera. – Bernama