Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Majikan diingatkan daftar pekerja

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab di dalam urusan pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke Skim TAP dan SCP, Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan telah meneruskan lagi siri lawatan ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Kampung Bengkurong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAP, hari ini, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah memeriksa sebanyak 72 premis majikan dan didapati seramai 12 orang pekerja tempatan masih belum didaftarkan di bawah Skim TAP dan Skim SCP.

    Manakala majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan telah pun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya dan memastikan pekerja-pekerja tersebut didaftar dan dicarumkan mengikut tempoh pekerjaan yang sepatutnya.

    Sehubungan itu, TAP turut mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP.

    Pekerja tetap, pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP.

    Oleh yang demikian, pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan adalah dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Pegawai TAP melaksanakan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan sekitar kawasan Kampung Bengkurong.
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...