Majikan diingatkan daftar pekerja untuk Skim TAP, SCP

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dalam usaha berterusan Tabung Amanah Pekerja (TAP) untuk memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja tempatan ke Skim TAP dan SCP, TAP melalui Unit Penguatkuasaan telah meneruskan siri lawatan ke premis-premis perniagaan di kawasan Jalan Maulana, Daerah Belait dan sekitarnya pada penghujung bulan Februari 2020 lalu.

Semasa lawatan tersebut, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah mendapati antara 31 premis perniagaan yang telah diperiksa, lima orang pekerja didapati masih belum didaftarkan di bawah Skim TAP dan SCP.

Majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan telah pun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya.

Dengan ini, TAP ingin mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mana-mana majikan untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah Skim TAP dan SCP. Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah dimestikan berdaftar dan mencarum ke Skim TAP dan SCP.

Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, pekerja di dalam tempoh percubaan dan pekerja-pekerja yang menerima pembayaran sama ada gaji atau komisyen ataupun elaun kerja.

Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja ataupun melalui aplikasi WhatsApp di talian 8998290.

Bagi ahli yang telah berdaftar ke e-Amanah, aduan atau sebarang pertanyaan bolehlah dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.