Majikan diminta tidak potong gaji pekerja dikuarantin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Pihak majikan dinasihatkan untuk tidak memotong gaji bagi pekerja mereka yang menjalankan kuarantin setelah menerima Perintah Kuarantin kerana ia merupakan sesuatu yang tidak disengajakan.

Oleh itu, para majikan harus mengambil pertimbangan dalam perkara itu, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan mengenai kemungkinan majikan memotong gaji pekerja yang dikenakan kuarantin, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut menerangkan mengenai pengumuman yang dibuat bagi mereka yang dapat melakukan pekerjaan di rumah untuk bekerja di rumah tetapi bagi mereka yang diperlukan untuk bekerja di pejabat maka mereka harus pergi bekerja di pejabat.

Yang Berhormat Dato berkata, pandangan yang dikongsi daripada para majikan mengenai isu yang dihadapi dengan para pekerja, jika perniagaan mereka mengharapkan para pekerja untuk datang ke pejabat tetapi pekerja tidak hadir, setentunya ia akan memberikan kesan kepada perniagaan itu.

Jika perkara itu berpanjangan, ia akan menyebabkan perniagaan untuk tidak lagi dapat beroperasi dan terpaksa ditutup di mana ia akan menyebabkan para pekerja kehilangan pekerjaan.

“Ini kita perlu fikirkan. Kalau dapat kerja dari rumah, kita memang menggalakkan untuk bekerja dari rumah dan kurangkan bekerja di pejabat,” tekannya

Mereka yang diperlukan untuk bekerja di pejabat, mereka harus pergi bekerja di pejabat dan mereka perlu sentiasa mematuhi arahan termasuk mengamalkan penjarakan fizikal.

Beliau menjelaskan bahawa kita tidak ingin untuk melihat perkara yang serupa berlaku seperti di negara luar, di mana ketika penularan jangkitan COVID-19, banyak perniagaan telah ditutup dan selepas penularan berakhir, perniagaan berkenaan tidak mungkin akan dapat dibuka kembali.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja bekerjasama dalam menghadapi situasi yang mencabar ini di mana mereka yang boleh bekerja di rumah untuk berbuat demikian dan tidak harus meminta untuk duduk di rumah serta tidak melakukan pekerjaan di rumah.

“Kalau kerjanya perlu dibuat di pejabat, tanggungjawab majikan adalah untuk menjamin supaya para pekerja akan mengamalkan penjarakan sosial,” tegas beliau.

Manakala itu, mengulas mengenai pandangan jika simpanan TAP dan SCP dapat dikeluarkan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia bukannya satu penyelesaian jangka panjang kerana ia merupakan simpanan bagi masa persaraan dan jika digunakan ia tidak akan bertahan lama.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam menangani penularan COVID-19 di mana jika ia dapat dikawal maka negara akan dapat kembali seperti dahulu dan perniagaan yang ada pada masa ini dapat terus beroperasi.