BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Dua kesalahan telah didapati dalam Operasi Sejahtera 168/2022 yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di Kampung Gadong baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, pemeriksaan ke atas kegiatan pembuangan sampah di kawasan Kampung Gadong telah mendapati majikan tidak menyediakan tempat tinggal yang teratur dan penempatan tempat tinggal pekerja tidak selaras dengan Lesen Pekerja Asing.
Tempat tinggal pekerja berhampiran dengan pembuangan sampah dan keadaan bilik yang sempit dan tidak selesa. Sehubungan itu, majikan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Bab 80 iaitu gagal menyediakan tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat.
Majikan juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 112 (02) melanggar syarat Lesen Pekerja Asing.
Bagi kedua-dua kesalahan berkenaan jika sabit kesalahan, majikan yang menggaji boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua. Majikan juga telah diarahkan untuk memindah pekerja berkenaan di tempat yang selaras dengan piawaian tempat tinggal Jabatan Buruh dengan segera.
Jabatan berkenaan mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009. Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.