Majikan gaji pekerja asing tanpa kebenaran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam usaha untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Selongkar 141/2021 baru-baru ini.

Hasil daripada pemeriksaan ke atas sebuah syarikat di Kampung Beribi telah mendapati kesalahan di bawah Bab 112, Perintah Pekerjaan 2009, iaitu majikan berkenaan mengaji pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Buruh.

Jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

Manakala majikan asal bagi pekerja-pekerja tersebut juga didapati melanggar dibawah Bab 86, Perintah Pekerjaan 2009 iaitu kesalahan penempatan pekerja asing yang mana majikan wajib mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Buruh bagi tempat pekerjaan bagi pekerja-pekerja di bawah jaminan syarikat.

Jika sabit kesalahan, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan denda kompaun iaitu didenda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja menurut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan, pembayaran gaji tepat pada waktunya dan memberikan tempat tinggal yang bersih.

Di samping menasihatkan kepada majikan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta dibawah Perintah Pekerjaan 2009.

Untuk makluman lebih lanjut boleh-lah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

Pegawai penguatkuasa semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat di kampung Beribi dalam Operasi Selongkar baru-baru ini. – Gambar Jabatan Buruh