Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Seramai 10 orang ahli Majlis AIDS Brunei Darussalam yang diketuai oleh Naib Yang Di-Pertua (Pentadbiran) Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awang Mohd Hazrin bin Daud, hari ini, berlepas ke Kuala Lumpur bagi mengadakan lawatan ilmiah selama lima hari bermula 19 hingga 23 Mac ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, yang juga selaku Yang Di-Pertua Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Awang Iswandy dalam ucapan ringkasnya berharap agar semua ahli rombongan dapat mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk meraih pengalaman baru, di samping dapat melihat bagaimana sesebuah persatuan itu dijalankan dan seterusnya dapat dikongsi sama dan diguna pakai bagi Majlis AIDS Brunei Darussalam khususnya dan untuk kebaikan bersama amnya.

Antara tempat yang akan dikunjungi pada lawatan tersebut nanti ialah PENGASIH Malaysia, PT Foundation, Rumah Solehah dan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM).
Lawatan ini juga merupakan sebagai pertukaran dan perkongsian ilmu kepada ahli-ahli Majlis AIDS itu sendiri, selain memberi pendedahan kepada ahli-ahli mengenai kegiatan persatuan atau organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ada di luar negara. Di samping itu, ia juga diadakan bertujuan menjadi wadah untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama NGO di luar Negara.