Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi pelantikan Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.
Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Istana Nurul Iman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. Majlis dimulakan dengan pembacaan surat perintah lantikan oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.
Mula-mula mengangkat sumpah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong Wan Oon sebagai Ketua Hakim Mahkamah Besar; disusuli oleh
Yang Arif Michael Peter Burrell sebagai Yang Di Pertua Mahkamah Rayuan; Yang Arif Michael Victor Lunn sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Rayuan; dan Yang Arif Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Turut hadir sama ialah Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Rayuan, Yang Arif Conrad Seagroatt; dan Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.






