Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri, kelmarin, telah menghoskan majlis berbuka puasa bersama pengamal media di negara ini yang berlangsung di Restoran Emperor’s Court, Hua Ho Mall, Manggis.
Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa acara yang diadakan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengamal-pengamal media di negara ini yang telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di negara ini.
Beliau menambah, pengamal media telah memainkan peranan penting dalam memberikan liputan kepada aktiviti yang dijalankan oleh STM dan ini akan memberi peluang kepada masyarakat di negara ini akan perkembangan dan program yang dianjurkan oleh STM.
Menurut beliau, “Tahun 2021 merupakan tahun yang luar biasa bagi semua orang di negara ini, disebabkan pandemik COVID dan ini juga tidak terkecuali kepada pengamal media Brunei kerana tugasan lebih mencabar dalam situasi pandemik”.
Semasa pandemik COVID, jelasnya, kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Brunei telah menjalinkan kerjasama erat dalam mengekang penularan COVID. Kedua-kedua negara masih mengadakan perundingan mengenai Vaccinated Travel Lane (VTL) walaupun Malaysia telah dimasukkan dalam Travel Green List Brunei bersama 10 buah negara lain yang telah bermula pada 1 April lalu.
Ketika menjelaskan mengenai rundingan VTL, ia masih belum dimuktamadkan kerana Brunei masih belum membuka sempadan sepenuhnya, walaupun sempadan antarabangsa Malaysia telah dibuka kepada semua pengembara asing pada 1 April lalu.