Tuesday, November 5, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Dikir Maulud labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT- Majlis Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang diadakan selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang bermula pada 4 September lalu telah berakhir pada malam ini.
     
    Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis penutup dikir yang berlangsung di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
     
    Selain memeriahkan dan memperingati hari keputeraan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, Majlis Dikir Syarafil Anam di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT serta memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam.
     
    Ia juga salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.
     
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir pada majlis penutup yang berlangsung di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir bersama jemputan lain pada majlis dikir bertempat di Masjid Ash-Shaliheen. – GAMBAR SERAHAN JPM
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir pada majlis dikir yang diadakan di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
     
    Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis serupa di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini. 
     
    Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
     
    Turut hadir timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
     
    Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Dikir Assalamualaika serta Dikir Syarafil Anam daripada Kumpulan Dikir Radio Televisyen Brunei (RTB). 
     
    Majlis diteruskan dengan Solat Fardu Isyak berjemaah, disusuli persembahan Dikir Marhaban, bacaan doa memohon kepada Allah SWT agar negara terselamat daripada bala bencana dan segala jenis penyakit serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. 
     
    Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan wakaf oleh tetamu khas majlis kepada wakil Masjid Ash-Shaliheen.
     
    Manakala majlis penutup dikir bagi rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah diadakan di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi. 
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
     
    Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Faizal bin Janif dan seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh Kumpulan Dikir KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.
     
    Majlis diteruskan dengan Solat Fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh imam masjid berkenaan dan diakhiri dengan Dikir Marhaban beramai-ramai, bacaan Doa Dikir dan juga Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda