Majlis dikir maya meriahkan Sambutan Maulud Nabi

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Dalam menyemarakkan lagi detik bersejarah dalam lembaran Islam iaitu hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena secara dalam talian, kelmarin.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pada tahun ini, majlis penuh telah dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien untuk memperingati dan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua turut hadir semasa Majlis Dikir Syarafil Anam secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi