Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi, & Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Malam-malam menjelang Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW disemarakkan dengan majlis-majlis dikir yang diadakan oleh pelbagai pihak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Persembahan Dikir Syarafil Anam di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan lelaki Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) pula telah mengadakan majlis dikir di Daerah Tutong yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.
Sementara itu, kelmarin, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong.
Mengetuai rombongan ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Muhammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Turut mengadakan majlis dikir, kelmarin, adalah Pertubuhan Wargamas (PW) yang berlangsung di Ibu Pejabat PW, yang diselajurkan dengan pelancaran Program Sekali Datang 1 Muka Surat (SD1MS).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
Yang Dipertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don menjelaskan, tujuan program SD1MS adalah untuk menggalakkan setiap jawatankuasa dan ahli PW membaca Al-Quran khususnya ketika berada di ibu pejabat seterusnya mengkhatamkan bacaan dalam tempoh dua ke tiga tahun sebagai sasaran yang pertama.